SALAM

Saturday, February 26, 2011

Zikir + Fikir = Ulul Albab

Subhanallah, hari ini pemandangan di tasik sangat cantik, lebih-lebih lagi ditemani dengan seseorang yang istimewa yang membuatkan diri ini merasakan tarbiyah dan dakwah merupakan perkara yang sangat penting dalam hidup ini. 

Seperti kata-kata Mustafa Masyhur: “Tarbiyah bukanlah segala-galanya, tetapi tanpa Tarbiyah segala-galanya tidak bermakna”.

Sewaktu melihat pemandangan di tasik yang dihiasi langit biru yang berawan putih serta pokok-pokok yang beranting, teringat satu rancangan di TV9 yang bertajuk “Tanyalah Ustaz” pada siri Zikir dan Fikir oleh Dr. Danial Zainal Abidin. Tajuk Zikir dan Fikir diambil dari surah Ali Imran, 3: ayat 190-191.


Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal,

(iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.

Dari rancangan ini dapat disimpulkan bahawa ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sebaiknya sehingga dapat meletakkan semua perkara pada perspektif yang betul.

Ulul albab mementingkan zikir dan fikir. Mereka memikirkan tentang kejadian-kejadian yang diciptakan oleh Allah s.w.t. dengan sebaik-baiknya. Bagaimana pergantian malam dan siang serta penciptaan langit dan bumi, semuanya terdapat tanda-tanda kebesaran Allah. Bukan sekadar berfikir sahaja bahkan mereka berzikir sambil berdiri, duduk atau berbaring dalam keadaan mereka befikir.

Subhanallah, inilah yang perlu kita lakukan. Apabila kita melihat atau melakukan sesuatu perkara dalam kehidupan seharian, kita bukan melihat atau melakukannya dengan fikiran dan hati yang kosong semata-mata, tetapi kita melihat dan melakukannya dengan fikiran yang sarat dengan berfikir dan hati yang sentiasa berzikir.

Dapat dilihat fikir letaknya pada akal manusia dan zikir terletak pada hati manusia. Jika digunakan kedua-duanya dengan sebaik mungkin, Insyaallah kita akan menuju kepada mukmin yang bertakwa yakni mukmin yang takutkan Allah.

Ya Allah, yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati kami dalam AgamaMu dan tetapkanlah hati kami dalam menaatiMu. Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka. Amin ya Rabbal ‘Alamin.


~muslehah~

No comments:

Post a Comment