Di setiap saat yang berdetik semasa diri ini bermusafir merupakan satu nikmat yang tidak dapat dilupakan. Betapa indah dan cantiknya ciptaan Allah di dunia ini. Melihat awan yang bergerak di langit, bukit-bukau dan gunung-ganang yang berdiri megah di tepi jalan. Bumi yang terhampar cantik di depan mata.
Subhanallah, walaupun itu semua ciptaan Allah yang besar dan sangat sempurna, tetapi makhluk ciptaan Allah itu tidak ingar dengan perintah Allah malah taat dan patuh dengan setiap arahan Allah.
Subhanallah, itu adalah permusafiranku dari kota yang berhutankan bangunan konkrit ke kota yang berhutankan alam hijau di utara ini.
Bagaimana pula permusafiran kita di dunia Allah yang fana ini? Permusafiran dan perjalanan yang sangat jauh. Disediakan banyak nikmat yang kita sendiri tidak mampu untuk menciptanya.
“Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutmu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah, “Jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu.” Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” (at-Taubah,9:41)
Perjalanan apa yang jauh itu? Perjalanan yang dipenuhi ranjau yang berduri, yang sangat tidak disukai oleh nafsu syahwat kita. Perjalanan yang akan menyebabkan syaitan bertungkus-lumus untuk mempengaruhi manusia yang melalui jalan ini. Ia adalah perjalanan menuju syurga Illahi.
Subhanallah, perjalanan ini hanya dilalui oleh orang-orang yang sabar dan tabah serta istiqamah dan istimrar dalam menuju redhaNya. Perjalanan ini dilalui oleh orang-orang yang asing. Perjalanan ini hanya dilalui oleh orang yang ikhlas dan berusaha mencari ikhlas dalam amal-amalnya.
Inilah perjalanan yang mengenalkan kita kepada tarbiyah yakni pendidikan terhadap Islam yang syumul. Inilah perjalanan yang mengenalkan kita kepada dakwah yang wajib diemban oleh setiap umat Islam. Inilah jalan untuk kita menyambung mata rantai-mata rantai yang dimulakan oleh Rasullah s.a.w..
Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dengan penat lelah Baginda pergi ke setiap khemah di Makkah hanya untuk menyampaikan Islam. Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dengan sakit perit baginda apabila Baginda tercedera dalam perang Uhud hanya untuk mempertahankan Islam. Inilah jalan yang dimulakan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berhijrah bersama-sama sahabat Baginda meninggalkan tanah air tercinta demi untuk mempertahankan aqidah. Inilah jalan yang Rasulullah s.a.w. tunjukkan sehingga umat Islam dapat kembali berjaya membuka Makkah dengan membawa Islam ke dalamnya. Jalan inilah akhirnya sampai kepada kita untuk kita meneruskan kembali mempertahankan aqidah kita.
Ukhtifillah, sama-sama kita terus-menerus dalam memurnikan niat apabila melalui jalan ini agar setiap amal yang kita lakukan diterima Allah dengan sebaik-baik penerimaan. Subhanallah, Allah telah memberikan nikmat yang terbesar kepada kita iaitu nikmat Islam dan Iman. Sama-sama kita menjaganya dengan sebaik mungkin agar ia tidak pergi meninggalkan kita begitu sahaja.
Subhanallah, Maha Suci Allah. Ya Allah, yang membolak-balikkan hati kami, tetapkan hati kami dalam agamaMu dan tetapkan hati kami dalam menaatiMu. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
~muslehah~
No comments:
Post a Comment